Khamis, 17 Jun 2010

Realiti yang perlu difahami oleh setiap rakyat Malaysia




Berbahas tuntutan kebebasan beragama, sudah tentu melibatkan peruntukan-peruntuk an yang telah ditetapkan oleh perlembagaan Malaysia. Sebagai sebuah negara yang memiliki rakyat yang berbilang etnik dan kepercayaan; perpaduan, integrasi dan amalan toleransi merupakan perkara yang begitu penting untuk dihayati oleh setiap warganya. Justeru, unsur-unsur tradisi dalam perlembagaan (yang terdiri daripada isu bahasa, agama, kedudukan istimewa bumiputera dan kewarganegaraan) merupakan perkara-perkara yang amat dititikberatkan oleh Perlembagaan Malaysia dalam usaha mewujudkan hubungan etnik yang utuh di kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contohnya, perkara yang menetapkan Islam sebagai agama bagi persekutuan diimbangi dengan peruntukkan kebebasan bagi setiap rakyat untuk menganut dan mengamalkan apa-apa agama dalam suasana aman dan harmoni. Hal yang sama juga berlaku ke atas perkara yang menetapkan kedudukan istimewa orang Melayu diimbangi oleh peruntukkan bahawa kerajaan tidak boleh melucut, menarik balik atau menyebabkan hak kaum lain terhakis.

Realiti yang perlu difahami oleh setiap rakyat Malaysia mengenai tuntutan hak kebebasan beragama merupakan bukan sahaja semata-mata isu akidah umat Islam, bahkan menggugat integriti yang cuba diwujudkan oleh kerajaan sendiri. Selaku seorang rakyat Malaysia yang menghormati perlembagaan Malaysia, setiap pihak perlu sedar bahawa segala peruntukkan yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia sebenarnya sudah memberi hak dan kebebasan kepada semua etnik dan kepercayaan seperti yang termaktub dalam Perkara 8 dalam perlembagaan Malaysia. Jadi, apa lagi yang perlu dituntut, sedangkan hak yang ingin dituntut sebenarnya sudah terbela dan terjaga?

Sebenarnya, dalam berbicara mengenai Perlembagaan Malaysia sebenarnya saya tertarik untuk mengajak semua pihak menghayati konsep kontrak sosial yang pernah wujud dan sedang wujud di Malaysia kini. Menyoroti semula sejarah penggubalan Perlembagaan Malaysia, kita akan akur pada fakta mengenai prinsip jus soli yang cuba diperkenalkan oleh British melalui peruntukkan dalam Malayan Union, yang pernah ditentang oleh rakyat dan Raja-Raja Melayu suatu ketika dahulu. Akhirnya, peruntukkan mengenai keterbukaan dalam kewarganegaraan melalui prinsip jus soli telah terzahir dengan pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, di mana syarat kewarganegaraan dibuka kepada pemohon asing yang bermastautin selama 15 tahun di Tanah Melayu dan mempunyai umur minimum 18 tahun, serta mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang baik.


Jus soli merupakan sejarah kontrak sosial terawal di Malaysia, di mana satu kompromi telah terhasil. Orang Melayu menerima kehadiran penduduk asing di tanah tumpah darah mereka dan dalam pada masa itu, penduduk asing perlu memahami, belajar dan menghormati kebudayaan orang Melayu. Dan pada penelitian saya, soal agama tidak langsung menjadi satu unsur untuk dipertahankan kerana masyarakat pada masa itu, amat memahami akan kedudukan agama Islam dan keserasiannya dengan orang Melayu, dan warga asing tidak pernah pula dinafikan hak untuk mengamalkan agama masing-masing walaupun diminta untuk memahami dan belajar budaya Melayu. Di sini boleh saya katakan telah tejadi satu kontrak sosial yang adil dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak walaupun bangsa Melayu dan peribumi terpaksa berkongsi tanah, hak dan kuasa dengan orang lain.

Kronologi penting dalam sejarah tanah air ini perlu diketahui, diingati dan difahami oleh setiap rakyat Malaysia agar tidak wujud rasa tidak puas hati dan rasa terzalim oleh Perlembagaan Malaysia. Kontrak sosial di Malaysia dan unsur tradisi dalam Perlembagaan Malaysia telah terwujud sekian lama dan ini perlu dikekalkan demi menjaga kestabilan negara. Walaupun ini bukanlah masa yang tepat untuk menyelongkar kembali lipatan sejarah lama, namun bagi saya setiap rakyat bertanggungjawab menjaga kontrak sosial ini demi menjaga integriti seta menjaga hak dan kebebasan masing-masing. Adalah tidak wajar soal agama menjadi punca keranapan perpaduan di Malaysia, kerana sepatutnya agama menjadi punca perpaduan, lantaran tidak pernah ada paksaan untuk mana-mana rakyat untuk menganut agama lain. Konsep tidak ada paksaan dalam beragama merupakan satu konsep mudah dalam menjaga kepentingan beragama dan menjaga perpaduan serta keutuhan setiap kaum di Malaysia.

Tiada ulasan: