Jumaat, 6 Mac 2009

KONTRAK SOSIAL - Kembali Memahami

KONTRAK SOSIAL - Kembali Memahami
Sejarah


Pendahuluan

Kontrak sosial seharusnya tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Formula kontrak sosial antara kaum telah dipersetujui oleh semua pemimpin negara yang berbilang bangsa ketika negara mencapai kemerdekaan. Adalah tidak wajar jika kontrak sosial dianggap sebagai suatu diskriminasi kaum, sebaliknya ia menjadi satu formula terbaik bagi mewujudkan keseimbangan sosial di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Keamanan yang dikecapi rakyat sehingga ke hari ini merupakan jaminan kepada negara untuk terus maju ke hadapan.

Kontrak sosial

Kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.
Kepentingan kontrak sosial

• Tanpa kontrak sosial tidak ada Perlembagaan.

• Tanpa kontrak sosial mungkin negara tidak dapat mencapai kemerdekaan.

• Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

• Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara Demokrasi Berparlimen, Raja

Berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

• Elemen penting kontrak sosial ialah :

o Perlembagaan

o Kemerdekaan

o Hubungan kaum

o Sistem pemerintahan


Permuafakatan

Kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. Permuafakatan yang dicapai telah mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.

Sebahagian masyarakat bukan Melayu menganggap kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu terdiri daripada imigran atau keturunan imigran.

Generasi bukan Melayu sekarang menganggap kontrak sosial ini sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka tidak nampak kenapa ia masih dibangkitkan kerana bagi mereka ia adalah sesuatu yang automatik. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera merupakan sebahagian daripada kontrak sosial.

Jika golongan bukan Melayu diberi kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberi perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa orang Melayu.

Masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan politik Melayu atau sistem kenegaraan Melayu dan pengaruhnya kepada negara manakala kaum bumiputera pula harus memahami hakikat masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini.

Hak orang bukan Melayu tidak boleh disangkal kerana mereka telah lama bermastautin, lahir dan membesar di Malaysia. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak harus saling memahami.

Apakah bentuk negara kita?

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu.

Telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 bahawa kewarganegaraan diberikan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang.

Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu, lebih sejuta orang bukan Melayu yang sebahagian besarnya imigran telah diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan jus soli.

Permuafakatan telah dicapai untuk mewujudkan sebuah negara yang berbilang kaum dengan bahasa dan agama yang pelbagai yang diiktiraf dalam Perlembagaan. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem beraja.


Kepentingan Permuafakatan

Asas pembentukan Malaysia ialah permuafakatan. Negara berjaya mencapai muafakat atas sesuatu perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum. Setiap warganegara perlu menghargai keamanan negara yang masih mampu dipertahankan hingga ke hari ini.

Penutup

Adalah penting bagi generasi kini benar-benar memahami perkara yang tersirat di sebalik kontrak sosial ini. Mereka perlu diingatkan bahawa kontrak sosial ini telah memberi keseimbangan hak setiap kaum di Malaysia bagi menjamin keamanan negara terus berkekalan.

Tiada ulasan: